Wednesday, January 7, 2009

TEVEV DAPAT PELUANG

.

Tevez dapat peluang terakhir

DERBY - Carlos Tevez akan diberi peluang sekali lagi untuk membuktikan dia berhak beraksi lebih lama di Manchester United selepas Sir Alex Ferguson bersedia untuk menurunkannya dalam perlawanan separuh akhir Piala Liga.

Tevez akan kembali beraksi untuk United dalam perlawanan separuh akhir pusingan pertama menentang Derby County dan misinya ialah untuk membuktikan kepada Ferguson masa depannya masih cerah di Old Trafford.

Penyerang dari Argentina itu berhadapan dengan masalah ketidakpastian mengenai kontraknya bersama juara Liga Perdana England (EPL) itu, yang akan berakhir hujung musim ini.
Namun Tevez dijangka akan beraksi di Pride Park selepas berjaya menjulang juara liga, Eropah dan kelab dunia tetapi masih belum memenangi Piala Liga.

Dia tidak beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini, menentang Middlesbrough dan Southampton, selepas Ferguson memberi kebenaran kepadanya untuk pulang ke negara asal atas masalah peribadi. ''Carlos telah kembali berlatih kelmarin dan akan beraksi hari ini. Saya akan menurunkan barisan yang hampir sama ketika bertemu Southampton dalam Piala FA Ahad lalu. Saya akan merehatkan seorang atau dua pemain, tetapi kebanyakannya pemain yang sama,'' kata Ferguson.

Penyerang remaja, Danny Welbeck dijangka akan diberi penghormatan beraksi selepas bermain dengan cemerlang menentang Southampton. Welbeck mempamerkan aksi menarik dengan menjaringkan gol pertama United ketika mengalahkan The Saints 3-0 dan Ferguson tidak teragak-agak menilai Welbeck, 18, sebagai pemain bintang dalam pembikinan.
''Danny melakukan tugas yang terbaik untuk kami dan anda boleh melihat sendiri kemampuan yang dimilikinya.

''Dia masih lagi membesar dan terdapat beberapa kelemahan ketika beraksi tetapi secara keseluruhan kami gembira dengannya. Ia sesuatu yang bagus buatnya untuk bermain di tempat lawan kerana ia lebih sukar. Dia menunjukkan gaya permainan yang menarik. ''Dia mempunyai personaliti yang bagus, dia begitu menumpukan permainan ketika beraksi. Dia mempunyai potensi,'' katanya.

- AFP
.

No comments:

Post a Comment